Friday, July 12, 2019

SIAPA NAK JAGA KITA BILA KITA DAH TUA?




Ada orang, dia susah hati kerana belum bertemu jodoh. Di fikirannya siapalah yang akan jaga aku bila aku dah tua nanti.

Ada orang, dah berkahwin tapi belum punya anak, pun terfikir siapakah yang akan jaga aku bila aku dah tua nanti.

Ada orang, ada anak, tapi hanya seorang, pun terfikir, kalau dia kerja jauh siapalah yang nak jaga aku nanti.

Ada orang, anaknya semua lelaki. Juga terfikir siapalah yang akan jaga aku nanti. Nak ke menantu perempuan aku nanti jaga aku.

Ada orang, anaknya semua perempuan, sama juga. Terfikir kalau semua tu nanti ikut suami masing masing, siapalah yang nak jaga aku nanti.

Apa masalah kita sebenarnya?

Kita letakkan masa depan kita di tangan manusia.
Di tangan anak.
Di tangan suami.

Walhal yang jaga kita itu Allah.

Berapa ramai orang yang anaknya ramai, cukup nisbah lelaki perempuannya, namun masih terabai hidup bersendirian di rumah usangnya sehingga meninggalnya juga seorang diri.

Berapa ramai juga orang yang saya jumpa hidupnya tidak bertemu jodoh, namun pada usia 60 70 80 masih sihat, boleh urus diri jauh lebih baik daripada orang yang usianya baru jejak 50-an namun sudah sakit lutut jalan bertongkat walau anak anak ada di sisi menjaga.

Itulah kita kata  'R.E.Z.E.K.I.'
Dan rezeki itu hak Allah.
Yakin.
Yakin.
Yakin.

Jangan runsingkan kerja Allah.
Runsingkan kerja kita yang asyik tak siap ni.

Jangan runsing belum ketemu jodoh
Jangan serabut belum ada zuriat
Jangan sedih hanya kerana beranak sorang
Jangan kalut kalau hanya ada anak lelaki
Jangan cemas jika hanya ada anak perempuan.

Lebih dari itu jangan takbur sangat kita ada jodoh, anak ramai, cukup laki perempuan.

Jangan pertikaikan eh nanti tua siapa nak jaga kau. Kita sendiri pun belum tahu nasib kita nanti.

Masa depan kita sentiasa di tangan Allah.
Dan Allah itu adil.
Setiap orang akan dapat apa yang Allah kata dia layak dapat.

Pendek kata
Allah ada.
Jangan takut...

Saturday, June 15, 2019

SOLAT SUNAT TAHAJJUD



Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam.

Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Firman Allah SWT.:

 “Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’; ayat 79)

Rasulullah SAW bersabda:  “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”   (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)

TUJUAN SOLAT TAHAJJUD

1. Sebagai petanda perhambaan kepada Allah SWT.
2. Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya
3. Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.
4. Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.
5. Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

KELEBIHAN  SOLAT TAHAJJUD

1. Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.
2. Doa dimakbulkan Allah.
3. Memperolehi ketenangan jiwa.
4. Merasai diri hampir kepada Allah SWT.
5. Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.
6. Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.
7. Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.
8. Mencegah dosa dan menghindari  penyakit.
9. Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.
10. Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.
11. Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.
12. Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.
13. Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.
14. Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.
15. Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.
16. Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
18. Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.
19. Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.

JOM SAMA2 KITA DIRIKAN SOLAT TAHAJJUD.

Saturday, May 18, 2019

PERKONGSIAN: Jangan Balas Dengan Jahat



Dalam kehidupan kita, seringkali kita akan hadapi onak dan duri. Cabaran itu perkara biasa dalam hidup kita untuk mematangkan diri kita.

Banyak orang yang kita jumpa.  Ada yang baik, ada yang sebalinya.  Banyak juga pengalaman yang kita terokai dan pelajari.

Andai berlaku sesuatu kepada diri kita disebabkan oleh seseorang, kita rasa apa yang yang mereka buat itu tidak betul, teruk, kejam dan sebagainya,  jangan lah kita membalas dengan perkara yang sama mahupun lebih teruk.

Apabila kita membalas kembali dengan keburukan,  yang nampak buruk adalah kita. Andai kita membalas dengan kata-kata kesat,  orang akan cakap hati budi kita tidak bersih kerana kata-kata itu datangnya dari hati.

Orang yang baik tidak akan berkata-kata dengan kesat. Orang yang baik juga tidak berbuat perkara jahat. Apabila perkara seperti ini berlaku,  orang akan hilang rasa hormat dengan diri kita yang akhirnya menyebabkan  kita terpaksa menanggung kekecewaan sedangkan kitalah yang menjadi mangsa.

Jalan yang sebaiknya adalah kita mengadu kepada Allah. Pasti orang yang menganiayai kita menerima balasan yang setimpal. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan menyintai orang orang yang bersabar.

Sabar itu separuh dari iman..

Saturday, May 11, 2019

RENUNGAN | Ada orang yang jauh lebih susah dari kita



Tadi di ATM 7E ada abang ni marah marah duit gaji belum masuk. Saya diam tanda faham. ada orang setiap bulan duit dia cukup cukup untuk perbelanjaan dapur dan segala bil bil lain sahaja. Bila duit gaji lambat masuk memang stress. Nak buat simpanan tu jauh sekali.

Saya masih ingat april 2017.

Kisah adik ipar saya di Bank. Seorang Makcik minta tolong check baki dalam akaun beliau. Bila check ada RM20 baki.

"Makcik dalam akaun ada rm20" kata adik saya.

"Belum masuk lagi ya, takpelah makcik puasa LAGI hari ini". Ambil  card terus keluar bank. Orang ramai yang dengar perbualan tersebut panggil makcik  nak bantu, tapi dia terus keluar dari bank dengan cepat.

Adik saya meluru  ke kereta cerita masalah ini, kami pusing satu pekan tak jumpa .

Sehingga ke hari ini apabila ke bank check duit saya ingat makcik tersebut. Puasa lagi kah dia hari ini. Duit dari siapakah yang dia harapkan itu.

Kisah begini pernah saya jumpa. Ketika itu saya nak masukkan duit klinik. Sorang pakcik datang ke bank untuk masukkan duit rm100 ke akaun anak beliau. Datang dengan baju seperti dari kebun. Rm100 beberapa kali reject dari mesin sebab keadaan duit tidak bagus.

"Pakcik rm100 ni mesin tak terima, ada duit lain tak?"

"Ini jelah duit pakcik nak. Itu pun pinjam dari tauke. Pakcik ambil upah potong getah. Anak call katanya nak pakai duit"

Sedang kami berbual, datang sorang abang bagi kat pakcik ini rm500 cash. hari ini saya untung meniaga, pakcik ambillah duit ini HADIAH dari saya. Orang dalam bank semua tergamam. Saya lagilah. Terus pakcik menangis dan doa untuk abang tersebut.

Tuan puan kita kadang-kadang rasa susah, rupanya ada lagi insan lagi susah dari kita. Banyak nikmat yang Allah berikan, tapi banyak kita lupa. Hebat hidup orang yang suka bersedekah . Penuh keberkatan dan bahagia. Saya cemburu dengan abang tersebut sehingga ke hari ini. Rm500 sedekah tanpa soal selidik. Saya nak masukkan rm50 dalam tabung masjid menggigil tangan. Ya Allah lemahnya iman untuk bersedekah.

Sebab itulah kita jangan hasad tengok orang  kaya,kereta mewah,rumah besar atau suka post kemewahan mereka di media sosial. Sebab kita tidak tahu berapa banyak telah mereka belanjakan duit mereka untuk bersedekah kepada fakir miskin.

Moga kita semua jadi insan hati yang mulia, sayang dan cinta kepada setiap insan. Jadikanlah SEDEKAH  satu HOBI yang baru untuk kita. Tanamkan rasa penyesalan jika tidak bersedekah. Asbab sedekah moga Allah redha dengan kita insyaallah.

#SedekahAllahSayang
#SedekahSetiapHari
#MarhabanYaRamadhan
#CnP

MOTIVASI: Haters Di Mana-mana



Setiap manusia mempunyai pandangan dan pemikiran yang berbeza berdasarkan 'qalbu' atau hati mereka.

Jangan terlalu mengambil pusing kenapa ada orang yang tidak sukakan kita, kenapa ada orang sukakan kita kerana ianya tidak menjamin kejayaan kita.

Pegang satu perkara, Rasulullah ﷺ  itu maksum atau insan yang sempurna dari segala sudut termasuk akhlaknya. Adakah semua manusia menyukai Baginda? Walhal ada orang yang buta dan tidak pernah berjumpa dengan baginda sekali pun membencinya hasil dari cerita-cerita buruk manusia.

Kita tidak perlu menjadi seorang yang 'perfectionist' demi mengambil hati orang lain. Cuma buat perkara yang baik-baik, buat perkara yang mampu meningkatkan nilai hidup diri dan orang lain. Selain dari itu terserahlah kepada orang lain untuk menilai diri kita.

Perfect di mata manusia itu tidak penting, perfect di mata Allah adalah segala galanya. Kejar redha Allah bukan kejar redha manusia. Selagi bergelar manusia, apa sahaja yang kita lakukan akan nampak bagus di mata sesetengah orang tetapi nampak buruk pada mata sesetengah orang yang lain.

Hanya Allah yang tahu hati budi kita dan kejarlah redha Allah. Apabila Allah redha, segala apa yang kita buat pun akan menjadi lebih mudah.