Monday, September 26, 2016

Jangan Rosakkan Anak Dengan Gadget



Saya seorang yang sukakan gadget.. Dari dulu lagi. Namun saya tak manjakan anak dengan gadget. Saya lebih suka beli dia buku cerita untuk memperkasakan penguasaan bahasa. Buku cerita juga meningkatkan imaginasi kanak-kanak.

Apabila ada masa terluang saya bawa anak saya menonton wayang atau layan movie di rumah bersama-sama. Astro di rumah pun ada pin code. Dia tak boleh buka sesuka hati. Kadang-kadang bawa anak bermain basikal, roller blade, berenang serta bercuti ke luar negara. Alhamdulillah, itu lebih meningkatkan hubungan kekeluargaan.

Cuma hujung minggu dan waktu yang terluang saya pinjamkan iPad atau smartphone saya untuk beliau bermain game atau menonton YouTube. iPad saya sentiasa dalam beg kerja pada hari biasa. Kadang-kadang saya rasa pelik apabila ada ibu bapa yang mempunyai pendapatan sederhana atau rendah tetapi sanggup belikan gadget yang mahal untuk anak-anak. Ada yang cakap anak mereka merengek-rengek bila tak ada gadget.

Saya tidak pernah mengajarkan anak dengan kemewahan. Bawa duit saku sehari pun cuma RM3. Dia akan bawa balik RM1 untuk dimasukkan dalam tabung. Apabila banyak atau musim perayaan, saya akan bawa dia dan tabungnya ke Tabung Haji untuk menyimpan. Tak pernah dia gunakan wang itu untuk beli barang-barang yang tak berfaedah. Saya juga menyimpan wang untuknya dalam unit amanah dan skim perlindungan dan pendidikan takaful untuk masa depannya. Sekarang ni apabila ada duit lebih dia akan bagi saya untuk disimpan.

Saya juga mengajar anak saya untuk 'memberi' dengan memberi duit saya padanya untuk dimasukkan ke dalam tabung-tabung derma apabila kami ke masjid atau di kaunter-kaunter bayaran yang mempunyai tabung derma. Kini anak saya yang minta duit apabila dia terlihat tabung derma atau orang susah. Dia akan kecewa kalau saya tidak menderma.

Sebenarnya kita yang mencorakkan anak-anak kita. Ada satu garis disiplin yang kita kena gariskan dan harus mereka patuhi. Sebagai ibubapa kita tidak sepatutnya tunduk pada apa jua kehendak anak-anak. Pilih mana yang terbaik untuk mereka. Kalau anak kita di usia yang mentah pun kita tak boleh kawal, apatah lagi apabila mereka dewasa.

Saturday, September 24, 2016

Petua Menurunkan Kolesterol

Assalamualaikum,

Hari ini saya berkesempatan berbual dengan seorang warga emas yang berusia lebih dari 70 tahun tetapi sehingga sekarang tidak mempunyai apa-apa penyakit. Badannya sihat walafiat. Saya bertanya padanya berkenaan dengan petua beliau menjaga kesihatan.

Katanya, beliau mengamalkan meminum air buah epal hijau dengan serai. Beliau mendapat petua ni katanya daripada seorang profesor yang merupakan pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan. Profesor tersebut menyuruhnya mengisar (blend) sebiji epal hijau dengan dua batang serai dan dicampur dengan dua gelas air untuk diminum pada sebelah pagi dan petang. Untuk menambahkan kesedapan bolehlah dicampurkan dengan satu sudu madu asli.

Walau bagaimana pun, minuman ini tidak boleh diminum secara berterusan. Apabila kadar kolesterol sudah turun, bolehlah dikurangkan satu gelas sehari dan kemudian boleh lah berhenti sekiranya kadar kolesterol sudah berada pada tahap yang normal.

Sama-sama kita amalkan, semoga kita dapat manfaat dari petua yang beliau kongsikan ini. Insyaallah..

Friday, September 16, 2016

Keikhlasan Dalam Kerjaya

Keikhlasan adalah sangat penting dalam setiap apa yang kita lakukan, tidak kira dalam berkawan, bekerja mahupun berniaga.  Apabila kita buat sesuatu dengan rasa penuh keihklasan tanpa inginkan balasan, insyaallah manfaatnya yang datang adalah menggunung.

Andai kita berkawan dengan ikhlas sudah pasti kita akan ada ramai kawan walaupun itu bukan yang kita cari.

Apabila kita rasa tidak punya wang, utamakan orang lain dahulu dengan bersedekah semampu yang boleh dan dari situ rezeki kita akan bertambah.

Andai kita berniaga kedai makan, kita memasak penuh keikhlasan untuk memberikan orang ramai merasai makanan yang sedap, sudah pasti orang akan datang kembali tanpa perlu kita suruh.

Kalau kita sediakan khidmat pelancongan, pastikan kita buat yang terbaik untuk kepuasan pelanggan bagi setiap sen yang mereka keluarkan.

Andai kita menjadi Perunding Kewangan, pastikan kita jujur untuk melihat pelanggan kita mempunyai wang yang banyak dengan menggandakan wang mereka di dalam pelaburan demi masa hadapan mereka, bukanlah poket kita matlamat utama.

Jadi bagaimana kita ingin bina network dalam perniagaan sedangkan kita tidak punya ramai kenalan? Jawabnya buat sahaja dengan ikhlas untuk menambah nilai kehidupan orang lain, nescaya Allah akan menghantar hamba-hamba Nya yang berdoa dalam solat meminta diberikan kejayaan itu datang berjumpa dengan kita.  Allah menghantar mereka kerana kita ikhlas.  Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba Nya.

Jadi ikhlaskan diri kita untuk kebahagiaan, kejayaan dan nilai hidup orang lain maka Allah akan memberikan kita yang lebih hebat dari itu.  Insyaallah.

Tuesday, August 30, 2016

Selamat Hari Merdeka 2016



Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.

Merdekakan jiwa kita dari dijajah oleh sifat-sifat negatif, kegagalan, belenggu kewangan  serta diri yang dikuasai oleh orang lain dalam menentukan perjalanan hidup dan kejayaan masa hadapan kita. Merdekakan diri kita dari hidup menerima arahan demi sesuap nasi kerana kita berhak serta mampu mengatur perjalanan hidup kita.

Merdeka bukan untuk dirai dengan perayaan bunga api semata-mata kerana negara kita sudah merdeka tetapi untuk dijadikan inspirasi tentang istilah kemerdekaan sebenarnya dalam diri kita sebagai insan harapan keluarga, bangsa dan negara. Lihat diri sendiri, lihat kedalam mata insan-insan yang kita sayangi sedalam-dalamnya, lalu baca dari lubuk hati, adakah kita sudah merdeka atau masih dijajah. Tepuk dada tanya selera.

Tiada istilah terlambat dalam memulakan usaha. Buatlah keputusan untuk MERDEKA!

- Jeff AJ

#Merdeka2016
#IndepedentDay
#Millionairethrivers
#HLMTakaful
#RHBAssetManagement

Thursday, June 30, 2016