Thursday, November 15, 2018

RHB Asset Management Lancar Dana Artificial Intelligence & Dana Shariah China Focus

Semalam saya telahpun berkesempatan untuk menghadiri sessi pelancaran dua dana baru RHB Asset Management iaitu RHB Artificial Intelligence Fund dan RHB Shariah China Focus Fund. Sessi ini bermula pada jam 9.30 pagi di Hotel Majestic Kuala Lumpur yang dikhaskan untuk tetamu VIP, Group Agency Manager dan juga perunding-perunding RHB Asset Management yang terpilih. Manakala sessi sebelah petangnya pula dikhaskan untuk semua agent RHB Asset Management.



Sessi pelancaran ini diserikan lagi dengan kehadiran robot bagi menggambarkan sektor teknologi yang digunakan oleh pihak RHB Asset Management untuk dijadikan asas dalam pelaburan dana ini.




Teknologi AI merupakan sebuah teknologi baru yang sedang berkembang dan banyak diterapkan ke dalam sistem peranti mudah alih seperti iPhone, iPad dan peranti Android.  Ini merupakan satu peluang keemasan untuk para pelabur melabur dalam satu sektor pelaburan yang mula rancak dan RHB Asset Management menggunakan kesempatan ini untuk memberi peluang kepada para pelabur untuk menjana pelaburan dalam bidang AI ini melalui dana baru yang dilancarkan.

Manakala dana RHB Shariah China Focus pula mensasarkan pelaburan di Negara China memandangkan kestabilan matawang RMB dan perkembangan GDP yang paling hebat iaitu 6.90% pada tahun 2017 berbanding sembilan negara lain termasuk Jepun, UK, Australia, Jerman, Amerika Syarikat, Korea, Thailand, Malaysia dan India.  Sasaran sektor pelaburan untuk China Focus Equity ini lebih kepada barangan pengguna, sektor kesihatan, teknologi, internet dan kuasa bersih (clean energy) seperti nuklear, hydro, angin, solar, gas semulajadi dan pengurusan sisa buangan.

Di bawah ini merupakan petikan artikel dari Berita Harian untuk bacaan anda.

RHBAM sasar langganan RM200 juta bagi dua dana baharu


KUALA LUMPUR: RHB Asset Management Sdn Bhd (RHBAM) dijangka memperoleh langganan RM200 juta untuk setiap Dana RHB Syariah China Focus dan Dana RHB Global Artificial Intelligence (AI) dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.
Pengarah Urusan dan Ketua Wilayahnya, Eliza Ong, berkata menerusi Dana RHB Syariah China Focus, para pelabur berpeluang melabur dalam pasaran modal Islam yang berkembang pesat di China, dengan memanfaatkan ekonomi kuasa besar bagi nilai pelaburan saham A dan saham H di semua sektor.
Akan diuruskan oleh pengurus dana China terkemuka, China Asset Management (Hong Kong) Ltd (ChinaAMC HK), Dana RHB Syariah China Focus juga akan melabur dalam portfolio Islam lain seperti amanah pelaburan hartanah, Dana Dagangan Pertukaran Islam, instrumen pasaran wang, skim deposit dan pelaburan kolektif.
“Kami merancang melancarkan dana China yang patuh Syariah pertama di Indonesia pada Januari 2019 dan yakin ia akan berjalan lancar di pasaran. Kami juga akan melancarkan produk di pasaran lain yang kami beroperasi,” katanya.
Pengurus Portfolio Kanan ChinaAMC HK, Raymond Jing, berkata penilaian semasa ekuiti China telah mencapai paras terendah dalam sejarah.
“Bersama-sama dengan kemasukan saham A ke dalam indeks global, ia membuka pelbagai peluang dan masa yang baik untuk para pelabur,” katanya.
Sementara itu, Dana RHB Global AI, yang diperkenalkan dengan kerjasama Allianz Global Investors (AllianzGI), akan melabur dalam syarikat yang mendapat manfaat daripada penggunaan infrastruktur AI, pembangunan dan penggunaan perisian.
Pengarah dan Pengurus Portfolio AllianzGI, Stephen B Jue, berkata terdapat 60 sektor berpotensi yang boleh dikaitkan dengan industri AI yang akan manfaatkan.
“Kami sedang bekerjasama dengan RHBAM untuk membawa dana AI kami kepada para pelabur di sini, kerana kami percaya ia akan memberi peluang pelaburan yang menarik bagi mereka yang ingin melabur dalam syarikat inovatif dengan memanfaatkan teknologi AI,” katanya.
RHBAM, anak syarikat RHB Investment Bank Bhd, kini menguruskan produk konvensional dan Islam dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM49.2 bilion setakat 30 September 2018. --BERNAMA

SAKIT HATI ITU MENYEKAT REZEKI..!?


Formula ini sangat bagus untuk dikongsikan agar membuka segala halangan pintu-pintu rezeki yang masih tertutup di kalangan rakan-rakan kita dan diri saya sendiri.

Menyakiti dan disakiti itu Dosa..!

Walau sebesar kuman kita menyakitkan hati orang, kita sudah berdosa.

Kita yang merasa sakit hati dengan orang yang menyakitkan hati kita, kita juga berdosa.

Maka kedua-duanya rezeki tersekat.

Tetapi kita tidak perasan hal ini bukan..?

Kerana kita ada sengaja dan tidak sengaja menyakiti hati orang sama ada lisan atau perbuatan.

Sebab itu, dalam Islam sangat dianjurkan antara kita bermaaf-maafan supaya DOSA sesama manusia bebas berterbangan, tiada lagi bersarang..

Sering kita dengar ibu bapa berkecil hati dengan anak. Ibu bapa berdosa, anak juga berdosa. Kerana apa..? Kerana Islam tidak ajar kita menyimpan rasa sakit, marah dan dendam di hati.

Terasa hati, sakit hati dengan anak, akan mengakibatkan rezeki anak tersekat. Menyebabkan hidup anak kesusahan.

Anak-anak pula degil, ego, menyakiti ibu bapa makin menggunung dosa. Adakah hidup ibu bapa bahagia dan kesenangan..?

Tidak ada kan..?

BAHAGIA ITU REZEKI.

Ingat, dosa antara manusia, ALLAH tak campur. Itu antara kamu. Tak bermaafan, tanggunglah kamu akibatnya perbicaraan akhirat yang panjang kelak. Lautan manusia mahu percepatkan hisab. Tapi kita..? Kerana marah, kerana sakit hati, lebih rela melambatkan hisab sendiri dan orang lain.

Yang mana2 terbuku marah di dalam hati

- Ibu bapa
- Anak
- Suami
- Isteri
- Adik beradik
- Jiran
- Kawan
- Guru
- Saudara

Dan seluruh manusia.

Lepaskanlah sekarang..
Bebaskanlah hati.
Jangan ditambah lagi dosa diri.

Selagi ada di dalam dada,
Selagi itu kita sedang mengumpul dosa.

Jangan ambil alih tugas ALLAH mengadili, menghukum kesalahan manusia.
Kita tidak layak buat kerja Allah.

Kerja kita, beribadah dan ikut perintah DIA.

Islam ajar bersangka baik, tidak berdendam, pemaaf, pemurah dan saling mendoakan. Betul kan..?

Bebaskanlah jiwa-jiwa yang sakit itu supaya tenang dan sabar.
Dan keajaiban terbesar..

REZEKI MELIMPAH RUAH AKAN TERTARIK KEPADA MANUSIA YANG SUKA MEMAAFKAN..!
Untuk ingatan diri sendiri..🌹

*tulisan asal dari group Whatsapp

Tiada Perlindungan Takaful Di Akhirat



Beberapa hari lepas saya terbaca di surat khabar mengenai artis tempatan yang di diagnosis kanser September lepas, hari ni dah meninggal.

Kanser bukan penyakit untuk 'orang lain'. Kanser boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk kita. Sebelum ini kita ambil perlindungan takaful untuk ahli keluarga tersayang meneruskan penghidupan, supaya mereka tidak kesusahan.

Pernahkah terfikir apa pula bekalan kita untuk akhirat... Seandainya kita disahkan menghidap kanser dan jangka hayat cuma 2 bulan lagi? Setiap hari menghitung waktu untuk sebuah kematian.

Bersediakah kita untuk melangkah ke alam barzakh..?
Yang pastinya kehidupan di alam akhirat tidak sama dengan kehidupan dunia. Tiada lagi peluang untuk bertaubat selepas kematian.

Kalau kita nak beli takaful, kita beli sebelum terkena penyakit. Begitulah juga dengan bekalan kehidupan akhirat. Sebelum kita ditimpa penyakit kritikal, kita kena persiapkan diri kita semua.

Sesekali kita bayangkan apa yang sudah berlaku kepada orang lain. Apakah perasaan kita sekiranya perkara itu berlaku pada diri kita.. Sempatkah kita bertaubat? Sempatkah kita mengejar ibadat yang selama ini kita rasa ingin buat apabila kita tua nanti? Sempatkah kita pergi umrah, haji, khatam quran, belajar agama dan sebagainya...? Ya Allah.. Lekanya kita sedangkan semakin hari semakin ajal mendekat. 😭😭

Dunia ini hanyalah perhiasan sementara. Segala galanya akan kita tinggalkan. Namun, kita seringkali terleka dan tertipu. Semoga Allah memberikan kita peluang taubat dan sentiasa dilindungi. 😢😢😭

#pesananuntukdirisendiri

Thursday, November 1, 2018

Ujian Itu Hadiah





Perjalanan hidup kita berbeza. Kadang-kadang Allah nak uji kita untuk memberikan kita sesuatu yang lebih manis.

7 tahun lepas saya sudah tak tahan untuk bekerja. Dalam diri saya cuma untuk keluar tetapi saya tak tahu apa yang boleh saya buat. Saya bekerja dengan syarikat yang established. Dua buah syarikat GLC yang besar.

Syarikat pertama, kerja menyeronokkan tetapi gaji kecil. Syarikat kedua gaji besar dan bonus banyak tapi kerja pula melampaui batasan sehingga setiap hari sampai rumah pukul 11-12 malam.

Alhamdulillah saya dipertemukan dengan bidang kewangan ni. Walaupun saya langsung tak pandai, saya tak berani nak jumpa orang, tapi saya beri peluang untuk diri saya mencuba.

Banyak yang saya belajar. Banyak juga seminar yang saya hadiri. Apabila berada dalam bidang business atau sales, perkara pertama yang kita kena buat untuk berjaya adalah percaya dan punya impian. Itulah titik tolak kejayaan kita.

Alhamdulillah.. Dengan keadaan yang serba kekurangan, serba naif, saya berjaya mencapai ke puncak tertinggi dalam masa yang singkat. Ramai yang tanya bagaimana. Kawan-kawan yang mengenali diri saya pun tahu bagaimana pemalu dan penakut saya dulu. Di sekolah saya seorang yang pendiam dan sering dibuli. Bagaimana saya boleh buat....?

Yang pasti setiap perjalanan hidup adalah sesuatu yang telah dirancangkan. Tanpa ujian, tanpa cabaran kita pasti akan berada pada lingkungan yang sama....

Saturday, October 27, 2018

Anak Itu Tanggungjawab, Ujian & Amanah



Sesiapa yang mempunyai anak pastinya merasa teruja. Usahkan berpisah berhari-hari, berpisah beberapa jam pun kita sudah rasa rindu untuk mendengar gelak tawanya dan melihat matanya yang menghilangkan segala dugaan di dunia ini.

Anak sebenarnya perhiasan hidup untuk kegembiraan kita. Anak juga adalah tunggak untuk kita berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh bagi membuktikan bahawa kita adalah ibubapa yang bertanggungjawab.

Semua orang ingin menjadi ibubapa yang dibanggai oleh anaknya. Jadi sebagai ibu bapa kita mesti bekerja lebih demi masa depan anak-anak.

Sewaktu zaman susah dulu, saya pernah tinggalkan Nurul Amani Izzati berminggu-minggu demi kerjaya saya dan masa hadapannya. Outstation ke sana dan ke sini. Pernah masuk Felda keluar Felda. Kalau diikutkan isteri, pasti dia mahu saya sentiasa berada di rumah dan tidak suka saya terlibat dalan bisnes seperti ini. Kalau terlalu ikutkan kata isteri mungkin saya tidak mencapai apa yang saya mahukan sekarang.

Sedangkan dalam Islam wanita tidak boleh menjadi pemimpin, begitulah seorang suami, tidak boleh melantik isteri sebagai pemimpinnya. Wanita seringkali emosi tetapi lelaki seringkali mempunyai pandangan yang jauh.

Rasa rindu apabila berjauhan bukan kepalang tetapi saya tidak menjadikan rasa rindu itu sebagai penghalang untuk saya berusaha keras demi masa hadapan keluarga. Saya tidak mahu menjadi bapa yang dayus dan tidak mampu menjadi tunjang ekonomi rumahtangga. Saya mahu apabila dia besar, dia berbangga mempunyai bapa yang berjaya.

Alhamdulillah, sekarang Amani sering mengucapkan bahawa dia berbangga dengan saya. Banyak benda yang dia mahukan dapat saya tunaikan.

Waktu dulu saya risau untuk tinggalkan anak kepada penjaga. Apatah lagi banyak cerita yang kurang enak seringkali kedengaran. Tetapi kita kena ingat setiap yang berlaku itu tidak akan berlaku tanpa keizinan dari Nya. Dia lah yang Maha Mengatur setiap perjalanan hidup umat manusia. Kita kena sentiasa berdoa yang baik-baik dan sentiasa yakin.

Kalau Nabi Ibrahim terlalu mengalah dengan rasa cintanya terhadap Siti Hajar dan Nabi Ismail, pasti dia tidak tinggalkan mereka berdua ditengah padang pasir yang kering kontang tanpa apa-apa sebagai bekalan hidup. Adakah beliau tidak sayangkan anak dan isteri? Apatah lagi beliau terpaksa menunggu 99 tahun untuk mendapatkan zuriat... Nabi Ibrahim tidak menjadikan anak dan rasa cintanya untuk dijadikan alasan untuk tidak berusaha ke jalan Allah. Apatah lagi kita yang memerlukan sedikit usaha untuk masa hadapan keluarga.

Tugas kita di dunia ini adalah untuk berusaha memperkuatkan ekonomi umat Islam demi masa hadapan keluarga, agama dan negara. Jangan jadikan alasan anak dan isteri untuk kita tidak berusaha.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

[At-Taubah, 9:24]

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

[Al-Anfal, 8:28]

Jom kita mulakan work, life, balance. Insyaallah kejayaan pasti menanti dunia dan akhirat.